Assalamualaikum dan selamat sejahtera
Tahniah kerana memilih untuk
menyusukan bayi anda.
Mungkin ramai yang masih belum tahu
bahawa memberi susu ibu adalah tuntutan bagi yang beragama Islam, sepertimana
yang telah disebutkan di dalam al-Quran; al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud:
"Dan ibu-ibu hendaklah
menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang hendak
menyempurnakan penyusuan itu: dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan
pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan
seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu
itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu
menderita kerana anaknya dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut
(jika si bapa tiada). Kemudian jika keduanya (suami isteri) mahu menghentikan
penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah
berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak
beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi
kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang
patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah
sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan."
Walau apa pun sebab anda memilih
untuk menyusukan anak anda, tahniah kerana anda ibu yang hebat. Susu ibu
mengandungi khasiat yang tidak dimiliki susu lain di dunia. Antara kebaikan
penyusuan badan ialah:
1. Meningkatkan sistem imunisasi,
psikologi, dan membantu memberi nutrisi yang cukup kepada bayi.
2. Penyusuan eksklusif susu ibu pada
6 bulan pertama dalam jangka hayat bayi adalah cukup untuk menyokong tumbesaran
bayi secara optimum. Ia juga dapat mengelakkan jangkitan pada usus dan masalah
pernafasan bayi.
3. Penyusuan badan dapat membantu
mengecutkan rahim ke saiz asal sebelum mengandung dan membantu ibu menurunkan
berat badan secara semulajadi kerana penyusuan badan bertindak membakar
lemak-lemak di dalam badan (sebab itulah ibu menyusu memerlukan 500 kalori
sehari!).
4. Penyusuan badan dapat mengelakkan
risiko ibu dari terkena kanser payudara dan kanser ovari. Risiko akan semakin
berkurang dengan peningkatan tempoh penyusuan susu ibu. Ini bermakna semakin
lama ibu menyusukan anak, semakin berkurang risiko terkena kanser..wow!
5. Susu ibu meningkatkan
pertumbuhan otak dan IQ anak kerana susu ibu adalah sel hidup yang dipindahkan
dari badan ibu ke badan anak dan mempunyai kandungan DHA yang lebih tinggi
berbanding susu formula. DHA adalah satu nutrisi penting untuk perkembangan
otak anak.
6. Susu ibu sentiasa tersedia untuk
si anak, dan sentiasa berada pada suhu mengikut suhu badan ibu. Suam lemak
manis gitu.. Sebab itu bayi yang menyusu suka melekap dengan ibunya!
7. Susu ibu mengandungi imuniti
terhadap pelbagai penyakit dan membantu meningkatkan sistem imunisasi bayi.
Bayi yang menyusu badan jarang sakit.
Satu fakta menarik, kulit ibu boleh
mengenalpasti kuman atau virus yang terdapat pada badan dan kulit bayi, lalu
badan ibu akan menghasilkan susu yang mengandungi antibodi yang boleh melawan
kuman tersebut. Badan ibu mengesan kuman tersebut melalui pelukan dan ciuman
ibu pada anaknya, menarik bukan!
Bayi yang menyusu badan juga
terlindung (bukan sepenuhnya) dari penyakit pneumonia, bronkitis, ear
infections dan macam-macam lagi.
8. Penyusuan badan dapat membantu
menyokong keperluan emosi anak serta mengeratkan lagi hubungan antara anak dan
ibu.
9. Susu ibu mempunyai nutrisi
lengkap untuk bayi. Susu ibu adalah custom-made mengikut keperluan bayi
tersebut. Ianya mengandungi peratusan lemak, kabohidrat dan protein yang
bersesuaian untuk peringkat umur bayi. Tiada susu formula yang dihasilkan mampu
memberikan nutrisi yang betul-betul bersesuaian dengan keperluan tubuh bayi.
Susu ibu juga sentiasa berada dalam suhu yang bersesuaian dengan keperluan
bayi.
10. Susu ibu yang melahirkan anak
pra-matang adalah khusus untuk bayi tersebut. Tidak ada susu formula yang dapat
menghasilkan susu begini.
11. Susu formula meningkatkan risiko
penyakit diabetes. Susu ibu pula dapat mengurangkan risiko diabetes. Ramai ibu
yang tidak tahu bahawa kandungan glukosa dalam susu ibu lebih tinggi berbanding
dalam susu formula tetapi kenapa bayi menyusu susu ibu tidak terdedah kepada
diabetes?
Ini kerana glukosa dalam susu ibu
adalah dalam bentuk gula ringkas yang senang dihadam dan ditukar ke bentuk
tenaga oleh badan bayi.
12. Bayi yang menyusu badan membantu
mengurangkan keperluan insulin ibu yang berpenyakit diabetes.
13. Susu ibu mengurangkan risiko
penyakit asma.
14. Susu formula mungkin
meningkatkan risiko SIDS (sudden infant death syndrome)
15. Bayi yang minum susu formula
mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat ‘childhood cancer’. Kajian
menunjukkan bayi yang minum susu ibu untuk sekurang-kurangnya sebulan mempunyai
21% peluang yang lebih rendah untuk mendapat leukimia, dan 30% untuk bayi yang
menyusu badan selama 6 bulan.
16. Penyusuan badan melindungi bayi
daripada beberapa masalah penglihatan.
17. Bayi yang minum susu formula
lebih berisiko untuk obesiti. Susu ibu pula mengurangkan risiko mendapat
kolestrol tinggi.
18. Penyusuan badan sebagai
kaedah merancang keluarga secara semulajadi. Kebanyakan wanita yang menyusu
badan tidak datang haid selama 6 bulan atau lebih.
Tetapi bukanlah bermakna ibu yang
menyusu badan tidak boleh mengandung langsung selama tempoh penyusuan eksklusif
kerana proses ovulasi masih berlaku walaupun tanpa haid.
19. Penyusuan badan lebih mudah
berbanding susu formula. Tidak perlu membancuh susu, hanya selak baju dan
tawarkan susu kepada bayi. Tidak perlu berbelanja untuk susu formula. Kerana
susu ibu adalah percuma! Ianya hadiah dan anugerah dari Allah untuk hambaNya.
20. Susu formula sangat mahal.
Mungkin ada yang bertanya, pam juga mahal kan? Tetapi jika dilihat secara
jangka panjang, pam yang dibeli adalah untuk tempoh selama 2 tahun. Katakan
satu pam berharga lebih kurang RM500. Jika RM500 dibahagikan dengan 24 bulan =
RM20.83! Cukupkah RM20.83 untuk stok susu formula selama sebulan?? Itu pun jika
untuk satu anak sahaja. Bagaimana pula jika pam tersebut turut digunakan untuk
anak kedua, ketiga dan seterusnya? Bukankah lebih murah.
21. Susu ibu bertindak sebagai ‘ubat
penenang’ kepada bayi dan ibu. Bayi biasanya lebih tenang selepas minum susu
ibu. Ibu juga merasa lebih tenang selepas menyusukan atau selepas mengepam.
Ianya mengurangkan tekanan darah.
Ini kerana aktiviti penyusuan susu
ibu membantu membebaskan hormon gembira dan tenang untuk ibu dan bayi.
22. Susu ibu lebih sedap berbanding
susu formula.
23. Susu ibu yang segar (fresh
breast milk) tidak mengandungi bakteria, malahan susu ibu sendiri adalah
anti-bakteria.
24. Penyusuan susu ibu membantu
pembentukan rahang dan gigi bayi yang baik. Penyusuan adalah baik untuk
pembentukan gigi dan rahang bayi kerana bayi perlu menggunakan 60 kali lebih
tenaga semasa menyusu. Perlakuan ketika menghisap susu akan membantu
pembentukan rahang yang sempurna dan gigi yang tersusun. Semakin lama tempoh
penyusuan, semakin berkurangan masalah pergigian.
Tahniah sekali lagi kerana memilih
penyusuan susu ibu!
Anda hebat!
Selamat menyusu!
Dengan kasih sayang,
UMMI HUDA